tenang

By Nasampian - October 31, 2017

ada manusia Allah bagi dia tenang. setenang-tenangnya. sampaikan orang rompak dia pun masih tenang merokok, sambil pulang rumah dengan senyuman. beri jajan dengan adik-adik, dan tidur dalam bilik. malamnya baru report polis, cakap kad pengenalan hilang.

ada manusia Allah bagi tenang di luar, sengsara di dalam. jenis tenang sebegini biasanya dihidapi oleh orang yang banyak fikir, serabut tapi tak pandai nak interpret dalam bentuk fizikal. sengsaranya tenang jenis ini adalah hanya Allah dan penghidapnya yang tahu. orang sejenis ini bahaya jika dibawa ke alam percintaan kerana jika pasangannya tertinggal satu emoji cinta dalam setiap chat, maka manusia tenang seperti ini akan sengsara tak tentu hala.

ada manusia Allah tak bagi tenang. fikiran bercelaru, masalah tiada kesudahan. walaupun cuba diatasi dengan pelbagai cara, masalah tetap datang tak diundang. biasanya golongan seperti ini adalah golongan yang angkuh. sebab, dah tahu tak tenang, tak nak pulak minta dengan Allah nikmat ketenangan. ini tidak, terus-terusan bercelaru, sampaikan haru-biru.

ada ketenangan yang datang tanpa diundang. walaupun masalah sebesar bas, ketenangan datang sebesar kapal terbang. rahsia utama minta ketenangan ialah dengan hubungi Allah. Dia maha mendengar, malah dia lebih expert tentang masalah hati kita. jangan cari ketenangan dengan mencarut di status fb, whatsapp, atau twitter, itu bukan minta tenang, itu minta kecam.

ada ketenangan yang datang waktu malam. tiba-tiba Allah bagi gerak pukul 3. bukan mahu suruh kita fikir "ada hantu tengok kita". tapi suruh kita fikir "jum usir hantu yang ada dalam diri" dengan buat solat malam.

jika anda selalu tidur dengan fikiran yang berserabut, maka makin mudah mahu bangun pukul 3. ini sudahlah bangun pukul 3, lepas itu dibawa jalan-jalan pusing park, kononnya nak tenangkan fikiran. itu tidak berlaku di dunia nyata adik, itu dalam drama korea sahaja. mungkin sinetron indonesia, ataupun drama melayu pukul 7. filem superhero tamil apa kurangnya.

mengapa manusia memerlukan ketenangan? supaya manusia menjadi rasional. setiap tindak tanduk berfikir, bukan hantam kromo sahaja. tiap percakapan diolah indah, supaya tidak menyakitkan hati hamba Allah yang lain. setiap perbuatan menjadi ikutan, kerana indahnya akhlak sewaktu diberi nikmat tenang.

jika tiada nikmat tenang, bukankah kita sudah gila. tekanan dalam hidup menjadi-jadi. semua jadi huru-hara. suruh masak maggi pun, satu dapur termasak sama kerana kegelisahan dan haru-birunya dalam diri.

setiap masalah ada penyelesaian. setiap sakit ada ubat. cuma kita mesti berusaha, untuk mencari penawar kadangkala bukan mudah, tapi yakin Allah ada. jom tenang.


  • Share:

You Might Also Like

0 comments